Jangan begitu! Jika ternyata kesalahan bukanlah berpunca dari kamu, adalah menjadi hak kamu untuk tidak meminta maaf. Kami telah mengenal pasti 20 sebab mengapa kamu tidak perlu meminta maaf.
1 – PERASAAN KAMU
Apa yang kamu rasa dan fikir, sepenuhnya adalah hak kamu. Jadi jangan  rasa bersalah kalau apa yang kamu rasakan itu menjadi satu kesalahan  walaupun mungkin kamu sendiri terpaksa bermasam muka dengan orang lain.  Kamu berhak mempertahankan pendapat kamu kerana setiap individu  mempunyai sifat ego tersendiri. Bukan semua orang tahu menghargai  perasaan kita sebagaimana mereka mahu kamu menghargai perasaannya. Bukan  semua orang berupaya menyelami perasaan kamu, selain dari diri kamu  sendiri.
2 – LEBIH BERKEBOLEHAN
Mungkin gaji kamu lebih tinggi dari kekasih mu ataupun kamu lebih  berkebolehan dalam bidang tertentu berbanding orang-orang yang terdekat  dengan kamu. Setiap manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Jika  ada orang lain yang tidak dapat menerima keistimewaan kamu, pedulikan  saja!! Kamu harus sentiasa berfikiran positif dan menganggap inilah  kelebihan yang kamu miliki dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Kalau  ada yang mempertikaikan kebolehan itu, katakan saja yang setiap manusia  dilahirkan mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Jangan takut  untuk mengakui kelebihan kamu yang dimiliki kerana anugerah Tuhan tidak  harus dipersiakan!
3 – MASA LALU
Jangan meminta maaf di atas keputusan yang pernah kamu laksanakan di  masa lalu. Ia adalah kerana apa jua keputusan yang kamu lakukan  bergantung pada situasi di saat itu. Walaupun ada yang menentang  keputusan yang telah kamu lakukan, jangan cepat tersentuh. Ingat! Kamu  tentunya sudah boleh berfikir, mana yang baik dan buruk. Segala  keputusan adalah terletak di tangan kamu dan ianya amat mempengaruhi  hidup di masa akan datang. Tidak harus meminta maaf kerana bukan kamu  tahu apa yang akan berlaku di masa depan kan?
4 – MENJADI PERHATIAN
Bukan semua orang meminta dirinya menjadi perhatian. Kamu jangan risau  jika diri mu menjadi perhatian orang. Mungkin ada sebab-sebab tertentu  mengapa kamu yang dipilih berbanding dengan orang lain. Kamu tidak perlu  meminta maaf jika ada yang cemburu kerana kamu yang mendapat lebih  perhatian berbanding mereka. Jika kamu ingin lari dari terus menjadi  perhatian orang, usahakan agar kamu berjaya menghindarinya. Jangan  melibatkan orang lain jika kamu tidak mahu diri dipersalahkan.
5 – MEMUTUSKAN CINTA
Kalau kamu rasa bukan berpunca dari silap kamu, kamu berhak meminta  putus. Untuk apa kamu terus menyeksa diri untuk terus bersama si dia  sedangkan ternyata dia sendiri yang bersalah. Jangan rasa takut untuk  melaksanakan dan kamu juga tidak perlu memaksa diri untuk meminta maaf  kerana perpisahan ini bukanlah yang kamu ingini. Tetapi keadaan yang  memaksa!
6 – BERKATA JUJUR
Kejujuran merupakan resipi utama dalam sesebuah perhubungan. Kamu tidak  perlu takut untuk berterus-terang andai ianya mendatangkan kebaikan pada  diri kamu. Walaupun mungkin ia boleh mencetuskan salah faham antara  kamu dan si dia, terpulanglah pada si dia sama ada boleh menerima  kejujuran kamu ataupun tidak.
7 – BERTERUS TERANG
Kita mungkin mampu membohongi orang lain, tapi tidak pada hati sendiri.  Contohnya, kamu sudah tertarik pada orang lain sedangkan kamu baru saja  menjalinkan hubungan dengan si dia. Salah satu sebabnya ialah mungkin  kamu tidak dapat menerima cara si dia. Jalan terbaik ialah dengan  berterus-terang, daripada kamu terus menipu si dia dan diri kamu  sendiri. Nyatakan sebab-sebab mengapa kamu tidak dapat menerima si dia  lebih daripada seorang teman biasa. Daripada kamu terus menyeksa diri  kerana terpaksa menerima si dia, lebih baik kamu bertindak lebih awal  lagi agar perasaan itu tidak terlajak jauh.
8 – TIDAK MENEPATI CITA RASA
Bukanlah perkara yang mustahil untuk kamu mementingkan cita rasa kamu  sendiri. Contohnya dalam memilih pasangan. Untuk apa bersikap hipokrit  andai pasangan yang kamu pilih langsung tidak menepati cita rasa kamu.  Sudah tentu kamu mahu menjalinkan hubungan dalam tempoh yang lama dan  berharap agar ia berkekalan. Lalu kamu sepatutnya mencari si dia yang  mempunyai ciri-ciri yang kamu impikan. Walaupun tidak secara seratus  peratus, sekurang-kurangnya ada juga ciri-ciri tersebut pada diri si  dia.
9 – TERUS BERTANYA
Untuk mendapatkan kepastian, tentu kamu harus melemparkan pertanyaan.  Walaupun pertanyaan itu bertubi-tubi, selagi tak mendapat jawapan yang  pasti, selagi itulah kamu tidak akan berpuas hati. Kamu mahu bertanya  sehinggalah kamu faham. Jangan rasa bersalah kalau kamu harus bertanya  berulang-ulang kali. Ada kalanya pertanyaan kamu itu boleh membuatkan  seseorang itu rimas dan bosan, tetapi bukan mudah untuk dia mengakui  kesalahannya ataupun menjelaskan perkara yang sebenarnya.
10- MINTA NAIK GAJI/PANGKAT
Tak salah kalau kamu meminta agar gaji/pangkat kamu dinaikkan setanding  dengan usaha yang telah kamu laksanakan selama ini. Sudah tentu kamu  berusaha bersungguh-sungguh demi memantapkan lagi prestasi dan kualiti  kerja semata-mata untuk syarikat. Jadi tidak salah kalau kamu meminta  imbuhan. Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, kamu juga  memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak. Tapi kamu perlu yakin dan  lebihkan usaha di masa akan datang.
11 – MASIH SOLO
Inilah hidup kamu! Walaupun ada kalanya kamu berasa bosan kerana masih  tidak mempunyai kekasih, ia bukan salah kamu. Terpulang pada diri kamu  sama ada ingin mempunyai kekasih ataupun sanggup bersendirian. Soal  cemburu ataupun usikan teman-teman, ketepikan saja. Apa yang penting  ialah soal hidup kamu sendiri. Bukan menjadi satu kesalahan jika kamu  memilih untuk bersendirian. Mungkin kamu perlukan masa untuk mencari  pasangan yang sesuai.
12 – TENTANG KEGEMARAN
Setiap orang mempunyai kegemaran ataupun hobi tertentu. Jangan risau  sekiranya ada yang memperkecilkan hobi kamu. Pertahankan hobi kamu itu  dan katakan yang setiap orang mempunyai perangai yang berbeza. Jangan  malu-malu mengakuinya kerana ia bukanlah mengganggu kehidupan orang  lain, malah menyerikan hidup mu sendiri.
13 – BIJAK DAN AKTIF
Orang yang cantik/kacak tidak semestinya bijak dan aktif. Jangan menilai  paras rupa dalam menentukan tahap kebijaksanaan seseorang. Ia juga  tidak boleh melabelkan seseorang itu aktif ataupun tidak hanya kerana  paras rupa. Kamu patut rasa bertuah kerana dianugerahkan kebijaksanaan  dan kamu juga seorang yang aktif.
14 – MEMINTA BANTUAN
Kalau tidak tahu, eloklah bertanya. Bukan cara terbaik untuk  berpura-pura tahu ataupun segan mahu meminta pertolongan orang lain.  Ingat, hidup dalam budaya bermasyarakat ini harus saling tolong-menolong  antara satu sama lain. Kalau kamu memerlukan bantuan, jangan  segan-segan meminta pertolongan daripada orang yang boleh membantu kamu  menyelesaikan masalah. Jika ada yang mentertawakan kamu kerana perkara  kecil pun kamu tidak tahu, terus-teranglah mengatakan lebih baik  bertanya daripada jadi bodoh sombong! Tak ada faedah langsung!
15 – BUKAN BERPUNCA DARI KAMU
Ada seorang teman memarahi kamu kerana rahsianya terbongkar, sedangkan  kamu bukanlah puncanya. Jadi untuk apa rasa takut kerana bukannya salah  kamu. Berterusteranglah pada si dia yang kamu tidak melakukannya  sebaliknya mungkin ada pihak lain yang cuba mempergunakan nama kamu.  Nyatakan sebab-sebab kukuh dan relevan tentang pengakuan kamu. Yakinkan  dirinya yang kamu seorang penyimpan rahsia yang boleh dipercayai. Kalau  boleh selidiklah siapa yang punya angkara untuk membuktikan kamu  benar-benar tidak bersalah!
16 – PANDU BERHATI-HATI
Salah satu perkara normal yang diperkatakan ialah pemandu wanita suka  memandu perlahan! Selalu juga kena hon. Katakan saja pada diri sendiri  yang kamu ini pemandu berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Kalau ada  pemandu lain yang membunyikan hon ataupun memarahi kamu, pedulikan  saja. Janji kamu tidak melanggar peraturan lalu lintas. Kalau setiap  kali kamu meminta maaf jika ada yang membunyikan hon ataupun memarahi  kamu, tentu nanti ada pula yang mengambil kesempatan di atas ‘kebaikan’  kamu itu.
17 – ORANG MENUDUH KAMU
Jika memang bukan kamu yang lakukan, mengaku saja. Jangan biarkan orang  memaksa kamu mengaku sedangkan kesalahan itu berpunca dari orang lain.  Walaupun mungkin ketika itu kamu agak gelabah kerana digertak, jangan  cepat meminta maaf. Bak kata pepatah, ‘Berani kerana benar, takut kerana  salah.’ Kalau kamu mengaku, alamatnya kamu akan disalah sangka. Jangan  sesekali mengucapkan ‘Saya minta maaf’, sedangkan dalam hati kamu  meronta-ronta mengatakan bahawa kamu tidak bersalah dan menjadi mangsa  keadaan.
18 – TIDAK TERLALU MEMENTINGKAN PENAMPILAN
Jangan merendah diri jika ada yang memperkatakan penampilan kamu tidak  sesuai dengan perkembangan semasa. Jangan terlalu mengikut telunjuk  orang dan ini membuatkan diri kamu hipokrit. Jangan takut-takut untuk  membantah kalau ia tidak bersesuaian dengan jiwa kamu. Tapi kalau kamu  membantah, ucapan meminta maaf bukan cara terbaik untuk dilafazkan. Ikut  prinsip kamu dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain.
19 – TIDAK SAMA HALUAN
Kamu mempunyai teman rapat. Ke mana saja pasti berdua bagaikan  belangkas. Tetapi ada beberapa perkara yang kamu tidak boleh melakukan  bersamanya iaitu kamu suka bersukan sedangkan dia gemar menonton wayang.  Jika percanggahan ini berlaku, kamu harus bijak menanganinya. Katakan  saja perkara ini tidak boleh dipaksa. Kamu tidak boleh memaksa dia  meminati sukan dan sebaliknya. Usah minta maaf walaupun ada kalanya  tercetus perselisihan faham. Walaupun rapat, suatu hari nanti, pasti  akan membawa haluan sendiri. Sampai bila hendak bergantung antara satu  sama lain.
20 – DIPAKSA
Sukar untuk melakukan sesuatu pekerjaan ataupun perkara yang dipaksa  oleh orang lain. Jika dilakukan juga, timbul rasa jengkel dan tidak  ikhlas. Jadi lebih baik tidak melakukannya dan katakan saja yang kamu  tidak suka dengan tugasan tersebut. Jangan berasa bersalah dan meminta  maaf kerana kamu tidak melakukan tugasan tersebut.
No comments:
Post a Comment